IPOH: Seorang ahli perniagaan yang sebelum ini berdepan 105 pertuduhan menipu melibatkan jumlah lebih RM6 juta pada 2015, didakwa sekali lagi dengan 10 pertuduhan baharu di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Bagi semua pertuduhan baharu itu, N. Narendran, 37, didakwa menggunakan sembilan Pesanan Kerajaan Negeri Perak dan satu dokumen surat tawaran Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) yang diketahuinya adalah palsu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Ganang Resources di No C-2-09, Persiaran Greentown 3, Greentown Business Centre di sini, antara 29 April 2015 dan 31 Oktober 2015.

Dia dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 467 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Narendran bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Hakim Norashima kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi keseluruhan 10 pertuduhan dan sebutan semula kes pada esok untuk serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nazratul Natrah Mohd Yusuf dan tertuduh diwakili peguam Bernard Francis.

Pada 21 November tahun lalu, Narendran didakwa dengan 105 pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan melibatkan pelaburan membekalkan barangan pakai buang di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Pertuduhan itu membabitkan wang berjumlah lebih RM6.3 juta dan tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM90,000 dengan seorang penjamin.