IPOH – Atas semangat membina semula Malaysia baharu dan meringankan beban hutang negara, seorang peniaga makanan kecil dan sederhana bertekad akan menyumbangkan keuntungan perniagaanya kepada Tabung Harapan Negara.

Yan Chee Kuan, 39, berkata beliau akan mula menjual pelbagai jenis makanan bermula 7 hingga 9 Jun ini di tiga lokasi berbeza iaitu SPPK Pasir Pinji, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh dan Menglembu.

Katanya hasil daripada tiga hari berniaga itu akan diserahkan secara terus kepada Tabung Harapan Negara dengan sasaran kutipan sebanyak RM10,000.

“Saya terpanggil untuk melakukan perkara ini atas dasar sebagai rakyat Malaysia, merupakan tanggungjawab kita semua untuk membantu negara ketika susah atau pun senang,” katanya pada satu sidang media khas di sini pada Isnin.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Howard Lee Chuan How berkata, walaupun usaha itu nampak kecil namun ia merupakan satu permulaan Malaysia baharu di mana rakyat sanggup berkorban demi negara tercinta.

“Ini satu kerja amal yang cukup-cukup baik, walaupun sebelum ini kita nampak ada pihak-pihak menderma RM1 juta, RM500,000 dan sebagainya namun ini adalah satu perkembangan yang positif.

“Jumlah itu itu tidak penting, namun niat serta usaha yang murni itu sewajarnya diberi perhatian, lebih-lebih lagi ini datangnya dari seorang peniaga kecil seperti Yan,” katanya dalam sidang media sama.

Beliau turut berkata, ia merupakan satu contoh baik dan dijadikan sebagai contoh oleh masyarakat lain yang mana kesetiaan serta kecintaan kepada negara lebih besar berbanding wang ringgit.

“Ini adalah satu permulaan pembinaan semula struktur modal insan, ia juga bermaksud kesedaran sivik rakyat khususnya di Perak ini kita sudah mulai nampak.

“Saya harap tindakan seperti ini akan memberi satu kesedaran kepada orang ramai bahawa usaha serta niat individu itu penting dalam mencapai sebuah negara atau negeri yang kita impikan,” jelas beliau lagi.