TELUK INTAN – Peniaga makanan di sini menggesa pihak bertanggungjawab melakukan pemantauan terhadap harga barang dapur dan barang basah berikutan peningkatan harga barangan tersebut sejak kebelakangan ini.

Seorang peniaga makanan, Sahaimi Fandi, 57, berkata, pemantauan yang kerap akan menstabilkan harga barangan tersebut sekali gus tidak menekan peniaga sehingga terpaksa menaikkan harga makanan.

Menurutnya, selain harga yang tinggi terutama membabitkan barang basah seperti ikan segar,

harga hariannya juga tidak tetap.

“Jika agensi berkenaan kerap membuat pemantauan, masalah kenaikan harga barang basah mungkin dapat dikurangkan, jangan biar peniaga menentukan harga barangan.

“Bagi peniaga makanan se­perti saya, kami tidak menaik­kan harga jualan makanan walaupun barangan dibeli semakin naik harga,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Peniaga makanan, Wan Mazita Wan Ibrahim, 50, mengakui harga barangan khususnya di pasar semakin meningkat.

Katanya, situasi itu menyebabkan dia seperti hilang semangat untuk berniaga.

“Pelanggan terdiri daripada penduduk di sini yang kita tahu kesusahan mereka, jadi saya tetap berniaga. Kalau dapat modal balik pun sudah memadai,” katanya.

Peniaga runcit dan makanan, S. Saravanan, 43, berkata, harga ikan segar paling ketara naik sehingga dia ‘takut’ untuk membelinya.

“Kenaikan harga barang basah secara tidak langsung menyebabkan kos untuk makanan harian juga meningkat. Macam saya ada tujuh orang satu keluarga, paling kurang kena belanja RM70 sehari untuk kos makan sahaja,” katanya – utusan online