MANJUNG – Semua peniaga disaran menghangatkan lagi suasana sambutan Hari Kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di gerai mahupun premis perniagaan masing-masing.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, tindakan mengibar Jalur Gemilang adalah  isyarat kecintaan dan sayang kepada negara selari tema merdeka tahun ini Sayangi Malaysiaku.

“Berbaki beberapa hari lagi sebelum 31 Ogos, saya melihat masih sedikit jumlah premis perniagaan mengibarkan Jalur Gemilang dalam menyemarakkan sambutan merdeka tahun ini.

“Jadi saya ingin ambil kesempatan menyeru pemilik premis yang belum mengibarkan Jalur Gemilang marilah bersama mengambil kesempatan dengan masa yang ada ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Merdeka@Komuniti dan Sambutan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Daerah Manjung di Jeti Lumut, baru-baru ini.

Tambahnya, mungkin wujud segelintir pihak melihat perkara ini sesuatu yang kecil tetapi tanpa mereka sedar mengibarkan Jalur Gemilang memberikan kesan yang sangat positif dalam menyemarakkan rasa sayang kepada negara.

Mohd Hatta yang juga Ahli Parlimen Lumut turut meminta rakyat di parlimen ini bersama mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman serta kenderana masing-masing dalam memeriahkan suasana sambutan kemerdekaan.

“Ini kerana kawasan kita merupakan lokasi pelancongan dan apabila pelancong melihat begitu banyak jalur gemilang yang dikibarkan ia akan menarik perhatian mereka dan menaikkan imej Lumut,” katanya – sinar