KLANG: Peniaga makanan antara yang menerima tempias akibat masalah gangguan bekalan air berikutan kerja pembaikan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3).

Peniaga, Samsudin Daud, 66, yang berniaga di Jalan Ladang, Palm Groove di sini, berkata bekalan air di tempat perniagaannya sudah terputus sejak jam 1 tengah hari tadi.

“Memang saya ada menadah air tetapi jika notis (terputus bekalan) yang diberikan bagi Klang adalah tiga hari, saya terpaksa mencari inisiatif lain.

“Setakat ini, saya terpaksa menggunakan pinggan kertas pakai buang dan mengalasnya dengan kertas makanan terlebih dulu demi keselesaan pelanggan saya. Kita berniaga makanan perlu sentiasa bersih,” katanya kepada pemberita.

Beliau perlu mengeluarkan kos tambahan bagi membeli semua perkakas itu tanpa menaikkan harga makanan di kedainya.

Katanya, beliau juga terpaksa mengangkut air dari rumahnya untuk perniagaan di kedainya esok berikutan simpanan air bersih di kedainya sudah hampir habis.

“Semalam saya beli tong air pun susah kerana semuanya sudah habis. Jika ada pun, tong air itu sudah naik harga,” katanya.

Peniaga dobi yang mahu dikenali sebagai Sulaiman, 56, berkata premisnya di Sungai Udang juga tiada air.

“Namun, saya membeli satu tangki besar dan ia cukup menampung kegunaan hari ini. Jika masih tiada air lagi esok, saya terpaksa menutup perniagaan saya sementara waktu,” katanya – berita harian