PANGKOR: Siapa sangka, kehadiran Festival Puisi dan Lagu Rakyat (PULARA) di pulau nelayan ini sering dinantikan oleh golongan peniaga kerana saban tahun ia mendatangkan pendapatan cukup lumayan.

Bagi Husna Khamis, 43, perniagaan nasi lemak di gerai kecilnya mendapat keuntungan 10 kali ganda setiap hari, berbanding pada waktu kebiasaan.
Ketika ditemui, Suara Perak terpaksa menunggunya untuk menjawap soalan yang diajukan kerana dia seolah-olah tidak menang tangan melayan pelanggan yang tidak putus-putus datang ke gerainya berhampiran Pasir Bogak.

“Saya mula menjual nasi lemak di gerai ini sejak empat tahun lepas dan saya akui ini adalah acara paling dinantikan oleh saya dan anak-anak yang membantu.

“Pada hari-hari biasa, nak dapat seratus ringgit pun susah, walaupun berniaga hingga malam, tapi sepanjang empat hari program ini dilaksanakan, kami boleh memperolehi sebanyak RM1,000 dalam masa sehari,” katanya gembira.

 

peniaga-nasi-lemk-pulara-3peniaga-nasi-lemk-pulara-2

Husna berpendapat, pemilihan masa PULARA yang diadakan sekitar Disember adalah idea yang cukup bernas kerana peniaga boleh mengambil peluang meningkatkan pendapatan daripada pelancong dan juga peserta program itu.

Tambahnya, pendapatan terkumpul bersama suami bagi tabung simpanan pendidikan anak-anaknya hanyalah RM900 sebulan dan ianya adalah amat perit bagi mengawal perbelanjaan harian.
“Jadi, ucapan syukur dan gembira itu seperti tidak cukup kerana keuntungan di PULARA ini membantu beban saya sebagai seorang ibu yang hendak memberikan terbaik buat anaknya,” ujarnya sedikit sebak.

Ibu kepada lima orang anak itu berkata, bukan mudah untuk mendapatkan keuntungan di sebalik keadaan ekonomi hari ini, namun PULARA telah mendatangkan hasil yang akan memudahkan keluarganya kelak.

“Anak-anak ada yang masih bersekolah dan melanjutkan pengajian, jadi keuntungan kali ini akan disimpan bagi perbelanjaan hari-hari yang akan datang.

“Terima kasih PULARA, tahun depan harap lebih ramai menyertainya dan membantu peniaga kecil seperti kami ini,” ujarnya yang tinggal bersama keluarga di Teluk Gedong.