BATU GAJAH: Seorang wanita peniaga pasar malam maut apabila motosikal yang ditungganginya digilis treler di persimpangan lampu isyarat Kilang Camfil dekat sini, kira-kira jam 11 pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, Khairun Nisa Kamaruzzaman, 28 yang beralamat di Hala Rapat Jaya Tambahan 15, Kg Rapat Jaya Tambahan, Ipoh, meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut beliau, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kemalangan dipercayai berlaku semasa sebuah treler dari Pengkalan 2 hendak ke kilang di Bemban dan telah berhenti di lampu isyarat.

Katanya, semasa hendak memasuki simpang dan membelok ke kanan, selepas lampu isyarat bertukar hijau, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai dari arah Kawasan Perindustrian Bemban hendak membelok ke kanan ke arah Batu Gajah, lalu digilis treler berkenaan.

“Pemandu treler telah memberhentikan kenderaannya kerana terasa seperti melanggar sesuatu dan melihat ada seorang penunggang dan motosikal di bawah trelernya,” katanya kepada pemberita di sini.

Menurutnya, ketika kemalangan, keadaan cuaca baik dan tahap penglihatan jelas.