IPOH – Seorang wanita berusia 53 ditemui mati dengan kesan luka di bahagian belakang badan dalam keadaan tertiarap di atas katil bilik tidur utama tingkat atas rumahnya dipercayai dibunuh di Taman Dato Lew Yap Sip, di sini awal pagi tadi.

Mangsa, Hamidah Abdul Rahman, 53, ditemui anak perempuannya, Noor Shairah Hussin, 17, yang pada ketika itu sedang bersiap untuk ke sekolah kira-kira jam 5.30 pagi.

Anak bongsu daripada empat adik beradik itu terkejut apabila menemui mayat ibunya dalam keadaan luka di bahagian belakang badan dan terdapat kesan terbakar pada bahagian kerusi meja solek serta langsir.

Dia berkata, ibunya yang juga peniaga di sebuah pasar awam di sini dipercayai pulang ke rumah pada jam 12.30 tengah malam selepas keluar untuk berjumpa rakannya jam 8 malam semalam sebelum dia menemui mayat ibunya.

Difahamkan, mangsa baru bertunang pada Khamis lalu dan merancang untuk berkahwin pada Mei ini.

AKAN MENYUSUL

-SinarHarian