KUALA LUMPUR: Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Isnin atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan terhadap dua lelaki rakyat Bangladesh pada Selasa lepas.

Peniaga Nor Hazrin Abdul Rafar, 33, dan pemandu teksi Yahaya Abdul Wahid, 35, pemandu teksi dituduh melakukan rompak berkumpulan terhadap Salam Md Abdus dan Md Hafizur Rahman dengan mengambil wang tunai RM1,330 dan dua telefon bimbit milik kedua-dua mangsa.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Morib, Off Jalan Klang Lama, Brickfields pada 2.15 petang, 3 April lepas mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz tidak menawarkan jaminan, bagaimanapun peguam Mohd Zaidi Othman yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon anak guamnya dibenarkan diikat jamin yang rendah dengan beberapa syarat tambahan.

Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib tidak membenarkan kedua-dua lelaki itu diikat jamin dan menetapkan 23 April untuk sebutan semula kes. – Bernama