KUALA LUMPUR: Seorang peniaga yang merancang serangan ke atas sarang pondan, kilang arak dan kedai judi di sekitar Melaka pada malam ambang merdeka, dihukum penjara 30 bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Ekhsan Sulaiman, 24, selepas tertuduh mengaku bersalah dan memerintahkannya hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 25 Ogos lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Ekhsan didakwa melakukan perbuatan pengganas dengan membuat perancangan dan persediaan melakukan serangan di sekitar Jalan Tun Ali, Kampung Bunga Paya Pantai, Melaka serta membabitkan diri dalam persediaan untuk melakukan perbuatan pengganas itu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Nombor 4, Jalan Bertam Jaya 12, Taman Bertam Jaya, Melaka Tengah, Melaka, antara 12 dan 25 Ogos lalu dan didakwa mengikut Subseksyen 130JD(1) Kanun Keseksaan (Akta 574), yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon dikenakan hukuman ringan dengan alasan sudah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan itu.

“Saya juga mempunyai isteri yang tidak bekerja dan dua anak yang masih kecil serta menjaga ibu,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa, Azlina Rasdi, membantah rayuan itu dan memohon dikenakan hukuman berbentuk pengajaran bukan saja kepada tertuduh tetapi juga masyarakat.

“Tertuduh membuat rakaman dan berkongsi cara buat bom asap, ini menunjukkan niatnya untuk menakutkan orang ramai dan menjejaskan ketenteraman awam serta membabitkan kesalahan serius,” katanya.

Mengikut fakta kes, pada pertengahan Ogos lalu, Muhammad Ekhsan mewujudkan kumpulan Whatsapp “Ar-Rayah member” dan membincangkan perancangan untuk melakukan serangan di Melaka.

Tertuduh menghasilkan bom asap sendiri dengan merujuk Youtube iaitu “how to make a smoke bomb with pingpong ball” dan menghasilkan dua video menunjukkan ujian bom asap di rumahnya.

Muhammad Ekhsan mengaku berkongsi dalam kumpulan WhatsApp cara membuat bom asap dan menyarankan serangan sama dilakukan di Kedah dan Pulau Pinang.

Pada 12 Ogos lalu, dia meminta rakannya menyediakan bola ping pong untuk membuat bom asap dan merancang melakukan serangan di Melaka, Kedah dan Pulau Pinang – berita harian