KUANTAN: Impian seorang peniaga memperoleh kontrak penyediaan makanan kursus untuk 700 peserta bukan setakat tidak kesampaian, malah menanggung kerugian RM21,000 akibat diperdaya dua individu yang menawarkan kontrak tidak wujud, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian berlaku ketika mangsa berusia 47 tahun berada di kantin sebuah sekolah agama di Kuala Tembeling, Jerantut kira-kira jam 11.30 pagi.

“Mangsa berjumpa seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Ustazah Maria. Wanita itu mendakwa seorang lelaki yang dikenali sebagai Haji Rahman sedang mencari kontraktor penyediaan makanan.

“Ia didakwa untuk 700 peserta kursus di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Abdul Razak (PPPTR) dengan kos belanja makan sehari sebanyak RM28,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, untuk tujuan itu, mangsa berurusan dengan Haji Rahman danmengarahkannya berjumpa seorang lagi suspek wanita lain di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di Jengka, Maran bagi menguruskan kontrak berkenaan.

“Pada hari sama lebih kurang jam 4.15 petang, mangsa menyerahkan wang tunai RM21,000 untuk mendapatkan kontrak berkenaan,” katanya.

Katanya, selepas menerima wang berkenaan, mangsa diarahkan wanita terbabit untuk berjumpa kadi di ruangan menunggu dalam pejabat PAID.

“Ketika menunggu kadi, mangsa bertanya kepada staf PAID mengenai kontrak berkenaan namun dimaklumkan pejabat itu tidak membuat sebarang penawaran penyediaan makanan.

“Mangsa segera keluar mencari suspek wanita berkenaan namun suspek dipercayai sudah melarikan diri. Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Jengka,” katanya.

Beliau berkata, polis sudah mengambil percakapan mangsa dan akan meneruskan siasatan terperinci termasuk melihat rakaman litar kamera tertutup (CCTV) di PAID untuk mengetahui individu yang menerima wang itu.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya – berita harian