IPOH– Seorang peniaga mengalami kerugian kira-kira RM 61,000 apabila disamun oleh tiga individu bersenjatakan parang di Persiaran Perpaduan Jaya 7 Taman Perpaduan Jaya Tengah di sini, hari ini.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supritenden Abdul Rani Alias, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 5.30 pagi ketika mangsa mahu ke pasar borong untuk membeli ikan untuk dijual di pasar mini miliknya.

“Semasa mangsa berada di Taman Perpaduan Jaya Tengah membuka pintu hadapan rumah tiba-tiba meluru disyaki tiga lelaki bertopeng merempuh masuk ke dalam rumah dan terus menyerang mangsa sehingga menyebabkannya terjatuh.

“Suspek juga bersarung tangan dan dua di antaranya berparang lebih kurang panjang 24 inci.

“Seorang daripada mereka menumbuk muka mangsa dan seorang lagi mengacu parang ke leher mangsa selain mengugut untuk mencederakan keluarganya,” kata Abdul Rani dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, mangsa turut mengalami lebam di atas bibir dan kecederaan di bahagian pinggang.

“Akibat daripada ugutan itu juga mangsa berasa takut dan menyerahkan wang perniagaan berjumlah RM 20,000 di dalam poketnya.

“Salah seorang daripadanya telah mengeledah bilik tidur utama mangsa dan mengambil wang simpanan berjumlah RM 40,000.

“Beg tangan isteri mangsa turut diambil yang mengandungi kad pengenalan dan gelang tangan emas serta dokumen penting sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta,” katanya.