KLANG: Polis menahan dua lelaki disyaki terbabit pergaduhan yang menyebabkan seorang penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) cedera di bazar Aidilfitri, Jalan Taiping, Bandar Baru Klang, di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan, berkata kedua-duanya berusia 18 dan 41 tahun ditahan sejurus memberi keterangan di Balai Polis Sungai Kapar Indah, 5 pagi tadi.

Katanya, pergaduhan tercetus apabila individu terbabit yang berniaga minuman di bazar itu dikatakan tidak berpuas hati apabila gerai dan barangan jualan disita penguat kuasa MPK selepas beroperasi tanpa lesen.

“Insiden itu berlaku jam 9.40 malam tadi, apabila sepasukan penguat kuasa MPK termasuk mangsa menjalankan pemeriksaan di bazar terbabit dan menghampiri gerai suspek.

“Mangsa berusia 30-an meminta suspek menunjukkan lesen perniagaan, namun suspek gagal mengemukakannya sekali gus menyebabkan gerai dan barang jualan disita.

“Ketika proses sitaan barang dijalankan, berlaku pertengkaran antara kedua-dua pihak sehingga mangsa cedera di muka,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan polis sebelum kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan kepada penjawat awam.

Mazelan berkata, kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek pernah dikenakan tindakan sita pada 3 Jun lalu kerana membuka gerai jualan secara haram di kawasan bazar.

“MPK sudah menasihati dan memberi amaran, namun suspek masih menjalankan perniagaan tanpa lesen,” katanya.

Dalam pada itu, insiden berkenaan turut dirakam peniaga bazar dan dimuat naik ke laman sosial hingga tular.

Video berdurasi 46 saat itu memaparkan pergaduhan antara penguat kuasa MPK dan peniaga terbabit.

Difahamkan, MPK bakal mengeluarkan kenyataan perkara itu menerusi sidang media, esok – berita harian