IPOH: Kerajaan negeri akan memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk berniaga di venue pertandingan Sukan Malaysia (SUKMA) XIX Perak yang dijadualkan 12 – 22 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Dan Pendidikan Islam, Luar Bandar Dan Pembangunan Usahawan negeri, YB Asmuni Awi bagaimanapun berkata, peluang turut diberikan kepada peniaga-peniaga lain.

“Kita akan memberi peluang kepada semua pihak, tetapi akan memberi keutamaan kepada peniaga tempatan.

“Disebabkan tempat adalah terhad, kita akan cuba melakukan yang terbaik untuk memuaskan hati banyak banyak,” katanya ketika menjawab soalan tambahan YB Salbiah Mohamed (BN – Temengor) di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan negeri sentiasa menggalakkan anak muda untuk menceburi sektor perniagaan, bukannya hanya menunggu peluang untuk makan gaji.

Bagaimanapun, kata beliau, mereka perlu mengikut peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan dan kerajaan negeri akan memberi kerjasama agar mereka boleh berniaga di kawasan atau tapak yang sesuai.

Terdahulu, ketika menjawab soalan asal wakil yang sama, YB Asmuni memberitahu, pelbagai bentuk bantuan disediakan oleh agensi-agensi kerajaan untuk anak-anak muda yang berminat untuk menceburi sektor perniagaan.

Menjawab soalan tambahan YB Yahaya Mat Nor (Amanah – Pasir Panjang), beliau berkata, kerajaan melalui agensi pemberi dana sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan perniagaan mereka terus beroperasi.

Selain itu, kata beliau, bagi memastikan bantuan yang diterima tidak disalah guna, proses pemilihan penerima dilakukan dengan teliti bagi memastikan mereka yang benar-benar berminat dipilih.

Beliau menambah, agensi pemberi dana juga mengadakan pelbagai kursus latihan pendedahan dan motivasi bagi membantu usahawan muda mengembangkan perniagaan mereka di pasaran yang lebih luas.