PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, hari ini menzahirkan kebimbangan kerana kes gangguan seksual terhadap golongan orang kurang upaya (OKU) di negara ini berleluasa.

Berkongsi kebimbangan itu bersama Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Maria Chin Abdullah, Dr Wan Azizah berkata, ini kerana penjenayah seksual tidak memilih mangsa terutama kanak-kanak OKU yang tidak berdaya.

“Saya nak kongsi bersama, mereka (anak OKU) memerlukan penjagaan 24 jam dan pengawasan penuh bagi menghindari mereka menjadi mangsa penjenayah seksual.

“Hati naluri saya mempersoalkan bagaimana kita nak menolong, terutama anak-anak yang tidak berdosa macam ini dieksploitasi menjadi mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail Bersama Anak Istimewa, PJS 8 DUN Seri Setia, di Taman Tasek PJS 10 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, calon Pakatan Harapan bagi pilihan raya kecil DUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, turut mengingatkan pentingnya bagi ibu bapa atau penjaga peka terhadap sebarang perubahan pada anak OKU.

“Kita mesti menjaga setiap anak kita dan persekitaran jika ada sesuatu yang tidak kena. Lihat kalau anak buat reaksi yang berlainan, kita mesti memberi amaran kepada mereka yang menjaga.

“Saya rasa sungguh gundah-gulana melihat kebiasaan sekarang ini yang semakin menggila apabila masalah ini berleluasa hari demi hari melanda negara kita,” katanya.

“Saya simpati dengan ibu bapa diuji dengan tanggungjawab menjaga anak istimewa begini tetapi bila kita fikirkan yang ini adalah anak-anak syurga, akhirnya menyejukkan hati kita masing-masing sebagai ibu bapa,” katanya.

Tambah beliau, untuk membantu mereka yang dalam kesusahan, sama ada fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal atau golongan cacat, perlu dibuat dengan cara yang baik dan mendidik.

“Walaupun memberi derma kepada orang yang memerlukan memang tidak ada salahnya, adalah lebih baik lagi jika kita memberi mereka sesuatu yang berguna, supaya boleh berubah menjadi lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah menggalakkan ibu bapa yang mempunyai anak OKU supaya segera berdaftar mendapatkan Kad OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memperoleh pelbagai bantuan dan manfaat.

Katanya, pendaftaran itu akan membantu kerajaan mengetahui bilangan OKU, sekali gus memudahkan perancangan perkhidmatan dan kemudahan yang sesuai untuk mereka.

Menurutnya, Kad OKU juga memberi peluang kepada golongan itu menikmati kemudahan seperti bantuan bulanan Elaun Pekerja Cacat, Bantuan OKU Tidak Bekerja dan bantuan Penjagaan OKU Terlantar/ Pesakit Terlantar daripada JKM mengikut kriteria serta kelayakan yang ditetapkan.

“Selain itu, pemegang Kad OKU juga mendapat pelepasan cukai sehingga RM5,000 bagi membeli alat alat khas untuk kegunaan sendiri, anak atau ibubapa OKU.

“Mereka juga layak mendapat pengecualian 100 peratus duti eksais ke atas kenderaan cacat fizikal yang berkeupayaan memandu dan diskaun bagi tambang pengangkutan awam,” katanya – berita harian