KUALA LUMPUR : Seorang pakar pediatrik menyuarakan kebimbangan susulan peningkatan kes penyakit influenza di Malaysia yang sehingga kini merekodkan kenaikan dua kali ganda pada tahun 2019 berbanding tahun sebelumnya.

Pakar perunding di hospital KPJ Damansara, Dr Musa Mohd Nordin berkata makmal hospital berkenaan merekodkan peningkatan sebanyak 170 peratus kes influenza pada tahun 2019 berbanding tahun 2018.

Terdapat sejumlah 2076 kes direkodkan pada 2019 berbanding tahun sebelumnya dengan 1222 kes, kata Dr Musa yang mengetuai unit kawalan penyakit berjangkit di hospital itu.

Data yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) juga menunjukkan kadar influenza sebanyak 21 peratus bagi Malaysia pada tahun 2019.

Kadar ini dua kali ganda dari tahun 2018 dan lebih tinggi berbanding pada tahun 2009 ketika berlakunya wabak influenza H1N1.

Dr Musa berkata hospital swasta lain turut merekodkan peningkatan sama influenza.

“Katil kami dipenuhi oleh pesakit yang mengalami selesema yang perlu diasingkan bagi mengelakkan jangkitan.

“Saya mempunyai empat orang dari satu keluarga (semua positif selesema) yang telah mendaftar keluar dari empat hospital sebelum diperiksa oleh saya – saya akhirnya perlu siapkan empat bilik untuk merawat seluruh keluarga ini.

“Jadi ada kenaikan kadar selsema di negara ini,” katanya

Beliau menjelaskan kenaikan influenza di Malaysia tidak ada kaitan dengan kes radang paru-paru (pneumonia) misteri yang dikesan di Wuhan, China. WHO berkata patogen berkenaan tiada hubungan dengan influenza.

“Tiada hubungan sama sekali. Hanya tahun dengan flu yang teruk – H1N1 kembali melakukan pembalasan ditambah pula dengan jenis B-Victoria. Amerika Syarikat mengalami kenaikan yang sama dalam kes selesema,” katanya.

H1N1 adalah jenis Influenza A manakala B-Victoria pula tergolong jenis Influenza B.

Peningkatan kes influenza menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan pada tahap kritikal terhadap ubat antivirus Oseltamivir.

Ubat tersebut – yang lebih dikenali sebagai Tamiflu – digunakan dalam rawatan kepada pesakit yang dijangkiti virus influenza.

“Kami sudah sampai ke 100 kotak yang terakhir manakala (hospital) lain ada yang kurang daripada ini. Bekalan tidak dijangka ada sehingga akhir Januari atau Februari,” katanya.

Dr Musa berkata isu ini dibangkitkannya bukan untuk menimbulkan panik tetapi untuk menggalakkan vaksinasi influenza.

Terutama bagi kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak berumur bawah lima tahun atau warga emas berusia 65 tahun ke atas, wanita hamil, kakitangan penjagaan kesihatan, mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti asma dan diabetes serta pelancong.

Kumpulan berisiko tinggi digalakkan untuk mengambil vaksin influenza setiap tahun.

“Kementerian Kesihatan perlu lebih waspada dan mungkin menimbang semula penyenaraian influenza sebagai kes penyakit wajib lapor (seperti pada tahun 2009), iaitu setiap kes atau kes disyaki perlu dilaporkan supaya pihak hospital dapat menilai dengan lebih baik mengenai jangkauan penyebaran wabak yang sebenarnya,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika dihubungi Malaysiakini menjelaskan satu kenyataan media mengenai hal ini akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Untuk rekod, vaksin influenza bukan sebahagian daripada Program Imunisasi Kebangsaan,  meliputi vaksinasi percuma terhadap 12 penyakit lain, yang diberikan di klinik kerajaan.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan (KKM) menggalakkan imunisasi terhadap influenza dilakukan sebagai vaksin tambahan.

Satu dos dikenakan bayaran sebanyak RM40 di klinik swasta dan hospital.

Jangkitan virus influenza mungkin kelihatan seperti selesema biasa namun ia sebenarnya lebih parah.

Virus berkenaan akan memberi kesan kepada sistem pernafasan dan boleh menyebabkan kematian, terutama di kalangan kanak-kanak yang mempunyai sistem ketahanan badan (imun) yang belum matang.

Bayi berumur di bawah enam bulan pula terlalu muda untuk vaksin influenza.

Dr Musa berkata Malaysia telah menyaksikan penurunan jumlah kematian yang berkaitan dengan influenza daripada 77 kes pada tahun 2009 menjadi cuma tiga kes pada tahun 2013.

Bagaimanapun, pakar kesihatan baru-baru ini melaporkan peningkatan kes influenza telah menyebabkan serangan penyakit Acute Necrotising Encephalopathy of Childhood (ANEC).

Kata Dr Musa, terdapat lapan kes berkenaan di Selangor dan Kuala Lumpur dan dua di Johor yang keadaan pesakit “dengan cepat bertambah buruk” dan memerlukan bantuan sistem pengudaraan di dalam bilik unit rawatan rapi.

ANEC adalah penyakit yang boleh membawa maut dengan gejala jangkitan pada sistem pernafasan dan penghadaman serta demam panas, seterusnya keadaan pesakit akan merosot dengan pantas sehingga tidak sedarkan diri dan mendapat serangan sawan.

Sementara itu, Dr Musa juga menambah bahawa terdapat kebimbangan di kalangan ibu-bapa berhubung edaran poster digital yang memberi amaran terhadap penggunaan ubat-ubatan anti-radang bukan steroid (NSAIDs) seperti Ibuprofen untuk merawat influenza, mendakwa ia boleh meningkatkan risiko radang otak (encephalitis) .

“Bukti untuk hubungan ini (apatah lagi menjadi punca) adalah terhad dan kenyataan dogmatik seperti itu hanya akan menimbulkan panik di kalangan ibu bapa.

“Tahap rawatan pertama bagi mengatasi demam masih lagi paracetamol, dan jika gagal dan dengan kehadiran risiko demam sawan (febrile convulsion), ubat NSAID digunakan sebagai tahap kedua rawatan,” katanya.

Setiap tahun, WHO menganggarkan 290,000 dan 650,000 orang di seluruh dunia mati akibat masalah pernafasan yang disebabkan oleh influenza. Ramai daripada mereka adalah kanak-kanak kecil.

Virus ini boleh tersebar melalui jangkitan batuk dan bersin. Virus influenza boleh hidup di luar badan selama berjam-jam atau berhari-hari.

Antara gejalanya adalah demam mencecah suhu 38 darjah Celcius, kesukaran bernafas, batuk kering, hidung tersumbat, sakit tekak, keletihan, sakit sendi, sakit kepala, cirit-birit, konjunktivitis, muntah-muntah dan sawan (di kalangan bayi). –MalaysiaKini