SHAH ALAM: Sekurang-kurangnya 35 laporan polis dibuat oleh mangsa penipuan pelaburan kucing yang dijalankan oleh sebuah syarikat menjual haiwan kesayangan yang beroperasi di Selangor dan Johor.

Ketua Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Korporat/Kewangan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner S Sasikala Devi, berkata berdasarkan laporan kerugian yang dialami mangsa pelaburan berkenaan, ia membabitkan nilai kira-kira RM1.56 juta.

“Bertindak atas aduan, tiga serbuan serentak dilakukan hari ini iaitu di cawangan Shah Alam, Setapak dan Bandar Baru Uda Johor Bharu.

“Hasil serbuan, kita merampas dokumen iaitu sijil baka kucing yang dilaburkan dan polis kini mengesan pemilik kucing lain yang turut terbabit dalam pelaburan ini.

“Bagaimanapun, premis di Setapak sudah ditutup sejak dua bulan lalu,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas serbuan syarikat berkenaan di cawangan Shah Alam, di sini.

Sasikala berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati mangsa diperdaya dengan ditawarkan kucing baka import seperti Siberian, Scottish Fold, British Short Hair dan banyak lagi dengan harga antara RM10,000 hingga RM30,000.

“Kucing yang dibeli itu kemudiannya akan diletakkan di premis syarikat itu untuk proses mengawan dan mangsa dijanjikan pulangan lumayan selepas kucing berkenaan melahirkan anak.

“Setiap anak kucing yang dilahirkan akan dijual pada harga RM7,000 ke atas dan mangsa akan memperoleh keuntungan sehingga RM50,000 selepas setahun.

“Bagaimanapun, sehingga kini mangsa mendakwa tiada sebarang pulangan diterima daripada syarikat berkenaan,” katanya.

Sasikala berkata, polis akan menahan pemilik syarikat berkenaan dan pengurusnya kerana dikesan mewarwarkan pelaburan berkenaan, untuk membantu siasatan.

Menurutnya, pemilik kucing yang belum membuat laporan diminta tampil berbuat demikian dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu.