TAPAH 4 Mei – Seorang penjaga kebun ditemukan mati di dalam kawsan kebunnya di Kampung Baru Tapah Road, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mayat Azirun Abdul Mohamed,54, ditemukan dengan satu kesan luka dan mukanya berada di atas tandan kelapa sawit.

Bagaimanapun katanya, hasil pemeriksaan fizikal mendapati tiada kesan darah mahupun luka-luka pada tubuh badan yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.

“Kira-kira 9.20 malam semalam, anggota dari Balai Polis Tapah Road telah menerima panggilan daripada seorang lelaki memberitahu terdapat seorang lelaki warga Kemboja berumur 50 tahun mati dalam kebun tersebut.

“Bagaimanapun, siasatan awal polis mendapati mangsa merupakan warganegara tempatan berbangsa Melayu dari Kampung Tersusun Batu 4 dan bekerja sebagai penjaga kebun-kebun di Kampung Baru Tapah Road,” katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. – UTUSAN ONLINE