PORT DICKSON: Seorang remaja maut selepas motosikalnya merempuh sebuah trak penunda di Kilometer 14.9 Lebuh Raya Seremban-Port Dickson di sini semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, Muhammad Hazim Hamid Bustami, 19, yang bekerja sebagai penjaga parkir meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan beberapa bahagian badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Mohd Faisal Mohd Noor berkata, mangsa yang datang dari arah Seremban menghala ke Port Dickson, dipercayai memotong sebuah kereta sebelum merempuh bahagian belakang trak dan tercampak ke atas jalan.

“Mangsa yang berasal dari Taman Wilayah Selayang, Kuala Lumpur disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang memberi bantuan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kita juga sedang mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan,” katanya – berita harian