KUALA TERENGGANU: Penjawat awam dan pasangan suami isteri antara 28 individu yang ditahan dalam operasi khas kutu rayau di sekitar bandar raya ini semalam.

Penjawat awam berusia 43 tahun dan mempunyai tiga anak itu ditahan bersama rakannya sebelum pemeriksaan menemui dua paket syabu dalam operasi selama tiga jam bermula jam 2.30 petang.

Pasangan suami isteri berusia 39 tahun pula dicekup bersama dua rakan mereka termasuk seorang janda berusia 35 tahun di sebuah pondok berhampiran sebuah pasar raya di bandar raya ini sebelum pemeriksaan mendapati mereka positif dadah jenis syabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman berkata, mereka antara yang ditahan dalam operasi khas kutu rayau membabitkan tiga lokasi di sekitar bandar raya ini.

Katanya, operasi khas ini diadakan susulan aduan diterima pihaknya mengenai kehadiran kaki “pau” di beberapa lokasi tumpuan di bandar raya ini.

“Daripada 28 individu yang ditahan, tujuh daripada mereka termasuk dua wanita positif dadah jenis syabu dan pil kuda.

“Dalam operasi sama, kita turut menahan seorang lelaki yang dikehendaki polis sebelum ini berhubung kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Daripada semua yang ditahan, kita percaya ada antara mereka adalah antara kaki “pau” yang memeras ugut sebelum ini dan siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengenal pasti pembabitan mereka,” katanya ketika ditemui selepas Operasi Khas Kutu Rayau di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini.

Suffian berkata, pihaknya meminta mana-mana individu yang menjadi mangsa peras ugut agar tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Katanya, walaupun hanya menanggung kerugian yang sedikit, pihaknya berharap mangsa tampil membuat laporan polis.

“Bukan nilai kerugian yang menjadi ukuran tetapi kita melihat kepada statistik kes berkenaan yang menimbulkan ketakutan dalam masyarakat sekali gus memberi imej negatif kerana ia berlaku di tempat awam.

“Kita percaya kes “pau” ini bukan jenayah terancang sebaliknya ia dilakukan individu yang kebanyakan penagih untuk membeli bekalan dadah,” katanya – berita harian