PUTRAJAYA 7 Mei – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengingatkan para penjawat agar menjaga kerahsiaan ketika hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) termasuk tidak menularkan gambar kertas undi atau dokumen berkaitan.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, mereka perlu mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya untuk memastikan perjalanan pilihan raya dilakukan secara telus dan rahsia.

“Jangan cuba selfie (swafoto) kertas undi dan kemudian tular ke laman sosial kerana ini merupakan satu kesalahan mengikut peraturan pilihan raya.

“Sila patuhi peraturan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika membuang undi. Kalau perkara ini sudah rahsia, biarlah ia kekal rahsia selamanya, CUEPACS tidak mahu penjawat awam didakwa berhubung soal ini,” katan-ya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azih berkata, kakitangan awam juga diingatkan untuk tidak terlibat atau menimbulkan kekecohan ketika pilihan raya berlangsung.

“Sila kekalkan keamanan masa kini, kita sudah matang dalam soal demokrasi dan sudah seharusnya sila tanggung-jawab amalan proses pilihan raya secara profesional,” katanya. – UTUSAN ONLINE

BERITA BERKENAANAnak Muda Perlu Sokong BN – Nizar