TAIPING: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta kakitangan awam di Bukit Gantang dan Taiping meneruskan tradisi dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau berkata, sebagai kakitangan awam, mereka perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai satu pasukan, agar ia benar-benar memberi manfaat besar kepada rakyat.
Katanya, pasukan yang baik dan kuat ialah mereka yang saling tolong menolong dan membantu membantu antara satu sama lain.

“Harapan kita semua untuk tahun 2017 nanti, kita dapat meneruskan tradisi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat jelata,” katanya semasa berucap pada Program Santai Bersama Penjawat Awam di Dewan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) pada Khamis malam.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, anggota Exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

Dr Zambry turut mengingatkan mereka supaya mengelak diri mereka daripada mengumpat antara satu sama lain kerana ia boleh menjejaskan tumpuan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Yang paling penting ialah kejujuran dan keikhlasan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang terbaik kepada rakyat,” ujarnya.

Majllis itu yang diadakan sempena Program Permukiman Menteri Besar di Parlimen Taiping dan Bukit Gantang dihadiri lebih 1,000 kakitangan awam.