BAGAN DATUK: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta penjawat awam yang bertugas di Bagan Datuk supaya bersatu dan berusaha membangunkan daerah baharu itu.

Menurut beliau, kejayaan daerah ke – 12 Perak itu hanya dapat dicapai sekiranya kakitangan awamnya dapat mewujudkan ekosistem yang mantap dan bersih.

Malah, kata beliau, ekosistem itu bukan sahaja mesti cemerlang dari segi kebersihan sahaja tetapi perkhidmatannya dan kerjasama di antara kakitangan dan pelanggan juga perlu.

“Daerah baharu ini memerlukan komitmen yang tinggi oleh semua pihak, sekiranya ekosistem itu amat baik Insyaallah daerah ini akan menjadi berjaya sekaligus menarik orang ramai untuk datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis makan tengah hari bersama kakitangan awam Bagan Datuk di Sungai Sumut pada Rabu bersempena program Permukiman Menteri Besar.

Di samping perkhidmatan cemerlang kepada rakyat, kata Dr Zambry, penjawat awam juga perlu meningkatkan lagi kerjasama dan hubungan baik sesama mereka.