PUTRAJAYA – Penjawat awam diseru agar tidak terlalu taksub dengan pemimpin dan parti, sebaliknya harus memberi kesetiaan kepada negara.

Apatah lagi menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pemimpin yang didapati gagal menjalankan tugas sepatutnya dan menyeleweng.

“Kalau kita dapati pemimpin sudah menyeleweng menjalankan tugas tidak sepertinya, mengurangkan tumpuan kebaikan kita dan kepada negara maka kesetiaan kita tidak (perlu) kuat sehingga kita melupakan negara kita.

“Pemimpin dipentingkan tapi negara lebih utama.

“Jangan kita terlalu taksub pemimpin dan parti sehingga kita lupa negara,” katanya ketika bercakap di hadapan lebih kurang 250 penjawat awam sempena Perhimpunan Bulanan di Dataran Putrajaya.

Selepas pilihan raya yang lalu melalui sistem demokrasi rakyat telah memilih untuk menukar kerajaan walaupun berada di bawah pemerintahan parti yang sama selama 61 tahun dan situasi ini diakui Mahathir menimbulkan perasaan tidak senang dan tidak tentu arah di kalangan rakyat termasuklah penjawat awam.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa kesetiaan kepada negara perlu mendahului kepada pemimpin dan parti yang pernah dinaungi sebelum ini.

“Apabila ada penyelwengan walaupun terikat selama 61 tahun atau parti tertentu perlulah alih kesetiaan kepada negara.

“Sejak kita merdeka kita tidak pernah tukar kerajaan tetapi hari ini kita dah tukar setelah sebuah parti itu memerintah selama 61 tahun. Tetapi kali ini rakyat memilih untuk tukar kerajaan. Dalam pada itu tentu timbul perasaan tidak senang dan tidak tentu arah kerana telah setia kepada kumpulan itu selama 61 tahun tetapi sekarang perlu beri kesetuaan pada kerajaan sekarang,” tambahnya.

Mahathir berkata, pentadbiran negara akan berjalan dengan lancar dengan adanya kesetiaan dan sokongan orang bawahan termasuk rakyat.

“Saya ingin peringatkan semua pihak kita berada di sini sama ada ahli politik yang dipilih rakyat atau pegawai jentera kerajaan, kita perlu ingat yang lebih utama negara bukan pemimpin bukan negara. Kalau negara ditadbir dengan baik perlu mendapat kesetiaan daripada kita.

“Inilah yang harus kita ingat sama-sama baik ahli politik atau jentera pentadbiran supaya negara kita terus aman,” ujar Mahathir. -MalaysiaGazette