SEREMBAN: Penjawat awam yang melaporkan aktiviti rasuah tidak perlu bimbang mengenai keselamatan diri dan keluarga kerana identiti mereka akan dirahsiakan.

Pengarah SPRM negeri, Ramli Ismail berkata, selain keselamatan dilindungi, mereka juga berpeluang menerima insentif yang ditetapkan.

Katanya, pihaknya akan melakukan lebih banyak usaha bagi menggalakkan lebih ramai penjawat awam termasuk di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) tampil membuat laporan terhadap kegiatan tidak sihat itu.

“Kita menyeru semua peringkat masyarakat dapat bertindak sebagai mata dan telinga kepada SPRM dalam memerangi rasuah dan kami memberi jaminan kerahsiaan pemberi maklumat akan dilindungi.

“Menjadi hasrat SPRM membebaskan negara ini daripada gejala rasuah kerana ia turut memberi kesan kepada pelabur yang ingin melabur di negara ini sekali gus menjejaskan ekonomi serta peluang pekerjaan untuk rakyat.

“Justeru, kita berharap mendapat kerjasama pegawai dan kakitangan jabatan serta agensi kerajaan untuk memastikan segala bentuk amalan rasuah dapat diperangi,” katanya selepas majlis pelancaran Gerakan Memerangi Pemberi Rasuah (GEMPUR) peringkat Majlis Perbandaran Seremban (MPS), di Dewan Pameran MPS, di sini, semalam.

Yang turut hadir Yang Dipertua MPS Datuk Abd Halim Abd Latif.

Ramli berkata, pemilihan MPS sebagai rakan strategik bagi program berkenaan dibuat kerana PBT itu kerap berinteraksi dengan orang ramai melalui perkhidmatan mereka.

“Kami berharap semua PBT di negeri ini dapat memberikan kerjasama secara aktif dalam kempen GEMPUR ini supaya matlamat kita tercapai,” katanya.

Sementara itu, Abd Halim berkata, pihaknya mengalu-alukan usaha SPRM melancarkan kempen berkenaan dan MPS akan memberikan kerjasama penuh bagi menjayakannya.

Beliau berkata, tahun ini MPS akan memberi fokus utama kepada usaha memperbaiki sistem penyampaian sebagai sebahagian daripada langkah menangani sebarang aktiviti tidak sihat dalam PBT itu.

“Kita sedar semua pihak perlu memainkan peranan dalam memerangi gejala rasuah ini,” katanyab- berita harian