IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengumumkan pemberian bantuan khas RM500 kepada pegawai kerajaan negeri bulan depan.

Beliau berkata, pemberian itu melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM4.1 juta.

Menurut beliau, bagi menghargai penjawat awam yang akan bersara tahun depan, kerajaan negeri meneruskan penyediaan insentif khas berjumlah RM1.2 juta.

Berucap membentangkan Bajet Perak 2017 di Dewan Undangan Negeri pada Selasa, Dr Zambry berkata, kerajaan negeri juga prihatin dengan usaha ketua-ketua kampung di dalam melaksanakan tugas di kawasan masing-masing.

Sebagai menghargai tanggung jawab yang dilaksanakan, ujarnya, bermula pada tahun 2017, kerajaan negeri akan membayar elaun RM200 seorang yang merupakan tambahan elaun kepada 17 orang ketua kampung FELDA, RM800 seorang kepada tujuh orang ketua kampung India.

Katanya, sebagai penghargaan kepada jabatan dan agensi kerajaan negeri yang mendapat pengiktirafan lima bintang di dalam Indeks Akauntabiliti Pengurusan Kewangan tahun 2016, kerajaan negeri akan meneruskan pemberian insentif RM20,000 secara one-off kepada setiap jabatan dan agensi termasuk Pihak Berkuasa Tempatan.

“Insentif ini adalah sebagai pemangkin bagi jabatan dan agensi berkenaan untuk meneruskan kecemerlangan dalam pengurusan kewangan mereka,” tambahnya.