IPOH: Penjawat awam harus bijak mengilhamkan kaedah fleksibel dalam memastikan matlamat setiap jabatan tercapai di sebalik kekangan peraturan yang tegas.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, mereka perlu sentiasa memikirkan kaedah terbaik untuk menyelesaikan sebarang permasalahan secara satu pasukan.

Jelasnya, beliau pernah memberi ceramah bertema kerajaan mengenai teknik menangani sebarang konflik yang wujud berikutan peraturan yang digariskan di sesebuah jabatan.

“Kita kena bijak untuk mencari solusi sekiranya konflik berlaku di antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan contohnya.

“Kadang-kadang, kita terus kata tak boleh, peraturan itu harus diutamakan namun kita kena kreatif dan inovatif dalam mencari jalan, kalau ada masalah, selesaikan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam (MPIPA) Peringkat Negeri Perak di Dewan Bankuet SUK di sini, hari ini.

Dr Zambry berkata, undang-undang dan peraturan itu perlu dititikberatkan namun kemampuan sebenar jabatan yang bergerak bersama sebagai satu kerajaan akan terbukti sekiranya mereka bersikap anjal dalam memastikan matlamat dicapai.

Beliau turut menyentuh perlaksanaan Strategi Laut Biru Kebangsaan (NBOS) yang dapat memastikan kelancaran gerak kerja sekiranya difahami dengan tepat.

“NBOS adalah satu usaha bersepadu di mana semua individu atau dari jabatan-jabatan ini keluar daripada kebiasaan, bekerjasama demi mencapai satu matlamat yang sama.

“Semua ini datang daripada keinginan dan inisiatif kita untuk berubah, dan menyampaikan perkhidmatan dari sektor awam dengan sebaiknya,” ujarnya lagi.

Dr Zambry turut mengucapkan tahniah kepada bahagian jabatan kerajaan negeri Perak yang berjaya mencapai tahap 75 peratus dalam penilaian pencapaian majlis perbandaran atau pihak berkuasa tempatan (PBT).