Subscribe Now

Trending News

Penjawat Awam Terima Bayaran Khas Pada 8 Januari Depan
Nasional

Penjawat Awam Terima Bayaran Khas Pada 8 Januari Depan 

PUTRAJAYA 14 Dis. – Kerajaan memutuskan Bayaran Khas Tahun 2017 sebanyak RM1,000 dan Bayaran Khas Aidilfitri Tahun 2018 sebanyak RM500 diberikan kepada pegawai perkhidmatan awam Persekutuan, awal tahun depan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, kerajaan juga bersetuju memberi Bayaran Khas Tahun 2017 sebanyak RM500 dan Bayaran Khas Aidilfitri Tahun 2018 sebanyak RM250 kepada pesara kerajaan yang menerima pencen.

Menurutnya, Bayaran Khas Tahun 2017 akan dibayar pada 8 Januari depan.

“Bayaran tersebut diberikan atas keprihatinan kerajaan menghargai kesetiaan penjawat awam dalam mendukung kemajuan negara.

“Pemberian itu juga adalah di atas ke­setiaan penjawat awam melaksanakan sistem penyampaian perkhidmatan de­ngan cekap dan berkesan kepada rakyat,” katanya dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2017 bertarikh semalam.

Katanya, Bayaran Khas Tahun 2017 sebanyak RM1,000 diberi kepada semua pegawai perkhidmatan awam Persekutuan tertakluk kepada syarat bahawa pegawai telah berada dalam perkhidmatan sekurang-kurangnya 90 hari berturut-turut pada tahun ini.

“Tempoh 90 hari berturut-turut adalah termasuk semua jenis cuti bergaji penuh, semua jenis cuti separuh gaji, semua jenis cuti tanpa gaji, hari rehat ming­guan, hari kelepasan mingguan dan hari kelepasan am sepanjang 2017,” katanya.

Bagi pegawai perkhidmatan awam Persekutuan yang berada dalam perkhid­matan jelasnya, pembayaran Bayaran Khas Tahun 2017 adalah tanggungan jabatan masing-masing.

“Sementara itu, bagi pesara kerajaan, pembayaran tersebut adalah tanggungan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.

-UTUSAN ONLINE

Related posts