Oleh:Nazialita Geynna Maharan

LUMUT: Berita baik bagi kira-kira 15,000 penjawat awam apabila kerajaan negeri Perak hari ini mengumumkan pemberian bonus khas RM500 kepada 15,000 penjawat awam negeri sempena persiapan menyambut Aidilfitri tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pemberian bonus khas kewangan itu melibatkan jumlah lebih RM5.6 juta dan akan dibayar bermula pada 9 Jun (Jumaat).

“Saya dah luluskan dan ikut pembayaran seperti tahun lepas dan pemberian bonus itu akan mengikut jumlah sama seperti tahun lepas,” katanya ringkas pada sidang media selepas perasmian program Ziarah Kasih Al-Mubarak Parlimen Lumut di Pulau Pangkor di sini pada petang Khamis.

ADUN Pangkor tersebut berkata pembayaran tersebut akan diberikan kepada kakitangan tetap, kontrak, sambilan termasuk pihak berkuasa tempatan, badan-badan berkanun negeri.