KANGAR: Seorang penjinak ular koma selepas dipatuk ular tedung selar ketika cuba memasukkan reptilia itu ke dalam karung di Kampung Belukar, Abi, di sini, semalam.

Mangsa, Azri Ahmad, 50, tidak sedarkan diri dan dirawat di Zon Merah, Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini.

Isteri mangsa, Siti Hawa Mahamad, 45, berkata dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, suaminya diminta penduduk kampung untuk menangkap reptilia berkenaan yang masuk ke dalam rumah seorang penduduk.

“Saya menemaninya ketika kejadian dan suami berjaya menangkap ular itu, namun ketika suami cuba memasukkan ular ke dalam karung, ular itu sempat mematuknya.

“Saya ingat dia hanya cedera ringan, namun selepas pulang ke rumah suami kelihatan pucat selepas mandi,” katanya ketika ditemui di pekarangan HTF, di sini, hari ini.

Siti Hawa berkata, suaminya ada memaklumkan mengalami sedikit luka dipercayai terkena taring ular itu ketika cuba mengurung haiwan berkenaan.

“Saya menemaninya ke hospital, di mana dia boleh memandu sendiri lagi pada waktu itu.

“Selepas mendapatkan pemeriksaan, doktor memaklumkan suami perlu ditahan di unit kecemasan kerana bimbang bisa ular akan merebak ke seluruh badan,” katanya.

Katanya, sejurus menerima rawatan, suaminya tidak sedarkan diri dan kini masih dirawat di unit berkenaan – Berita harian