MACHANG: Seorang warga Pakistan maut dilanggar kereta api ketika melintas landasan di Kilometer 468.7 Kampung Paloh Rawa, di sini. petang tadi.

Dalam kejadian pada jam 4.38 petang itu, mangsa Shabir Ahmad, 32, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di bahagian badan dan patah kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Ab Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan seorang lelaki dilanggar kereta api di kawasan itu.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa seorang peniaga permaidani menunggang motosikal seorang diri untuk melintas landasan kereta api dari jalan besar Kampung Paloh Rawa menuju ke Temangan.

“Ketika melintas, dia dilanggar kereta api yang datang dari arah Gemas menuju ke Tumpat.

“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Machang sebelum di bedah siasat dan kes itu diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Sementara itu, seorang penduduk, Nor Hisham Hashim, 28, berkata, ketika kejadian itu, dia sedang menonton televisyen sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat di landasan kereta api yang berada berdekatan dengan rumahnya.

Katanya, dia kemudian bergegas keluar sebelum terkejut melihat seorang lelaki dilanggar kereta api.

“Pada mulanya saya menyangka lembu yang kena langgar kereta api kerana kejadian itu sering berlaku, tetapi apabila keluar saya terkejut apabila melihat seorang lelaki di tepi landasan.

“Mangsa bukan penduduk di kampung ini tetapi pernah dilihat menjual permaidani di sekitar. Tidak sangka kemalangan kali ini meragut nyawa,” katanya – berita harian