IPOH: Bekas Penolong Akauntan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan menyalahguna peruntukan kecil kerajaan negeri bernilai RM11,000 dua tahun lalu.

Noor Faezah Mohd, 34, memohon dibicarakan bagi tiga tuduhan yang dikemukakan terhadapnya.

Dia didakwa menyalahguna peruntukan itu dengan membuat kelulusan pembayaran tiga baucar bayaran ke akaun syarikat Sricomp Solutions tanpa pengetahuan ketua jabatannya.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan oleh Noor Faezah di Cawangan Mekanikal, JKR Perak, Lorong Lahat, Ipoh pada 26, 30 Jun dan 8 Julai 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara enam bulan hingga lima tahun serta sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Hakim S. Indra Nehru membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Oktober ini.

Pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.