GERIK: Seorang penoreh getah tidak sempat merayakan Aidilfitri yang hanya tinggal tiga hari apabila maut dalam kemalangan di Kampung Pecah Batu,Ulu Sungai Beh, Bongor,dekat sini pada pagi Isnin.

Dalam kejadian sekitar 10.35 pagi itu, kenderaan jenis pick-up yang dipandu Mohamad Hassan Abdul Rashid,56, dipercayai terbabas menjunam ke dalam cerun sedalam 27 meter dan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superitendan Ismail Che Isa berkata insiden yang meragut nyawa mangsa berasal dari Felda Bersia itu berlaku di sebuah ladang getah di Bongor.

“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan itu berlaku apabila kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan dan terbabas ke dalam cerun sedalam 27 meter dan berikutan itu meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya dalam sebuah kenyataan media di sini,hari ini.

Menurut Ismail, hasil bedah siasat kepada mangsa di Hospital Gerik mendapati punca kematian adalah adalah “severe polytrauma secondary” berikutan kemalangan jalan raya.

“Cuaca terang dan kawasan laluan tanah ladang getah itu kering sewaktu kejadian dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1986,”ujarnya lagi.