PUTRAJAYA : Terdapat gerakan cuba memburukkan reputasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam pensijilan halal, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Mujahid berkata sebagai contoh, kes cop halal pada tin makanan berasaskan khinzir yang berlaku pada 2014 ditularkan semula oleh pihak yang tidak bertanggungjawab walaupun telah dinafikan.

“Saya hairan hari ini seolah-olah ada gerakan yang hendak pertikaikan reputasi JAKIM dalam pensijilan halal. Contohnya ada yang mendapat pensijilan tetapi dinafikan satu pihak lain… Kedua mungkin ada (gerakan) merancang untuk mencemarkan reputasi halal dan kerajaan hari ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Halal Fun Run sempena Karnival Rahmah 2019 anjuran JAKIM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang disertai 2,600 peserta.

Katanya antara usaha yang dilakukan bagi menangani masalah tersebut termasuk menyediakan aplikasi telefon pintar ‘Verify Halal’ bagi memudahkan pengguna menyemak status halal sesuatu produk dengan mengimbas kod produk.

Mujahid menjelaskan JAKIM melaksanakan tugasnya dengan profesional mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

– BERNAMA