IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan penstrukturan semula portfolio Exco Perak berikutan pelantikan tiga Exco baharu pada 12 Mei lalu.

Tiga Exco baharu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun, ADUN Bota, Khairul Shahril Mohamed dan ADUN Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud.

Zolkafli memegang portfolio Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Khairul Shahril portfolio Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia manakala Ahmad Saidi portfolio Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau.

Antara penstrukturan yang dilakukan ialah portfolio Pengangkutan Awam yng sebelum ini dipegang Datuk NoleeAshilin Mohd Radzi diserahkan kepada Zolkafly manakala Portfolio Infrastruktur yang dipegang oleh Datuk Abdul Yunus Jamahri turut dipindahkan kepada Zolkafly.

Ahmad Faizal berkata, bertepatan dengan fokus pentadbiran kerajaan negeri untuk memperkasa sektor pertanian dan menyumbang kepada agenda keselamatan makanan negara, portfolio Abdul Yunus diperluaskan kepada Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan.

“Dengan ini, senarai barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dengan portfolio masing-masing telah lengkap sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Faizal yakin, barisan Exco yang telah dilantik itu adalah pasukan yang dinamik serta komited dalam menggerakkan usaha membina semula ekonomi negeri Perak susulan penularan pandemic COVID-19.