IPOH – Kerajaan Negeri Perak Pimpinan Pakatan Harapan telah memutuskan untuk membuat penstrukturan semula portfolio Exco Kerajaan Negeri selari dengan kementerian atau menteri yang telah dilantik oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Menteri Besar YAB Ahmad Faizal Azumu berkata ia bertujuan untuk memudahkan serta melicinkan lagi pentadbiran kerajaan negeri.

“Sidang Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk menstruktur semula portfolio exco yang akan mengikut kementerian ataupun jawatan menteri yang telah dilantik oleh YAB Perdana Menteri.

“Bagi negeri Perak, tiada perubahan yang ketara cuma melibatkan perubahan terma yang digunakan.

Beliau bercakap kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri di Bangunan SUK Negeri Perak, di sini, hari ini.

Dalam satu lampiran yang diterima oleh Suara Perak setelah sidang media itu tamat, didapati bahawa lapan daripada 11 exco tersebut dirombak sesuai dengan kementerian berkaitan.

Berikut adalah perubahan portfolio terlibat:-

i) Jawatankuasa Agama Dan Pendidikan Islam, Luar Bandar Dan Pembangunan Usahawan yang sebelum ini dikenali Jawatankuasa Agama Dan Pendidikan Islam, Industri Luar Bandar Dan Pembangunan Usahawan (YB Asmuni Awi),

ii) Jawatankuasa Kemudahan Awam Dan Infrasrtuktur, Pertanian Dan Perladangan sebelum ini dikenali Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian Dan Perladangan (YB Abdul Yunus Jamahri)

iii) Jawatankuasa Pelaburan, Industri Dan Pembangunan Wilayah yang sebelumnya dikenali Jawatankuasa Pelaburan, Industri Dan Pembangunan Koridor (YB Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin)

iv) Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains, Alam Sekitar Dan Penerangan sebelum ini Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar, Teknologi Hijau Dan Penerangan (YB DR Abdul Aziz Bari).

v) Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional Dan Sumber Manusia sebelum ini Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional Dan Sumber Manusia (YB Sivanesan Achalingam)

vi) Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Kebajikan Masyarakat sebelum ini Jawatankuasa Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Kebajikan Masyarakat (YB Wong May Ing)

vii) Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia Dan NGO sebelum ini Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO Dan Pembangunan Koperasi (YB Hasnul Zulkarnain Abd Munaim)

viii) Jawatankuasa Pembangunan Belia Dan Sukan sebelum ini Jawatankuasa Belia, Sukan Dan Pembangunan Modal Insan (YB Howard Lee Chuan How).

Manakala tiga portfolio yang kekal ialah Jawatankuasa Kewangan, Keselamatan, Tanah, Badan Berkanun (GLC), Sumber Asli Dan Perancangan Ekonomi dipengerusikan oleh Menteri Besar YAB Ahmad Faizal Azumu, Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam Dan Kampung Baharu (YB Yong Choo Kiong) serta Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan (YB Tan Kar Hing).