KUANTAN: Impian seorang pensyarah untuk melancong ke Manchester, England, musnah selepas dipercayai ditipu dalam urusan pembelian tiket penerbangan membabitkan kerugian RM10,500, awal bulan ini.

Bagaimanapun, suspek berusia 27 tahun berjaya ditahan sepasukan polis di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Lengkuas, Shah Alam, Selangor, kira-kira jam 9.45 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata pada 1 Februari lalu, mangsa berusia 45 tahun yang juga pensyarah di universiti awam di sini, dikatakan tertarik dengan iklan tiket kapal terbang ke Eropah ketika melayari laman sosial Facebook.

“Mangsa yang tinggal di Taman Tanah Putih, Pekan, kemudian menempah tiket kapal terbang untuk tujuh orang ke Manchester.

“Mangsa turut membuat transaksi pemindahan wang berjumlah RM10,500 ke akaun milik suspek,” katanya di sini, hari ini.

Namun tidak lama kemudian, beliau berkata, mangsa menerima e-mel menyatakan penerbangan ke destinasi terbabit dibatalkan dan wang akan dipulangkan semula.

“Bagaimanapun, mangsa tidak menerima pulangan wang seperti dijanjikan lalu membuat laporan polis kerana mengesyaki diri ditipu suspek,” katanya.

Mohd Wazir berkata, hasil siasatan lanjut, pihaknya berjaya menahan suspek dan turut merampas sekeping kad mesin juruwang automatik (ATM) Bank Islam milik lelaki itu untuk tujuan siasatan lanjut.

“Suspek sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaaan kerana menipu,” katanya – berita harian