KOTA KINABALU: Seorang Pensyarah wanita berusia 48 tahun di sebuah universiti awam di sini, kerugian RM260,000 selepas diperdaya sindiket penipuan Macau Scam, bulan lalu.

Lebih menyedihkan wang itu disimpan sejak dia mula bekerja di universiti berkenaan pada usia 20 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, mangsa pada mulanya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dari nombor 68886 yang mengatakan kad kredit miliknya telah digunakan di Lapangan Terbang Senai, Johor Bahru, pada 21 Mei lalu.

“Mangsa yang pelik kemudian menghubungi talian 1-800-81-7399 seperti yang terdapat dalam SMS berkenaan sebelum dijawab seorang staf (suspek) yang memperkenalkan diri kononnya sebagai pegawai bank dan menyatakan akaun bank mangsa akan disekat.

“Mangsa kemudian menghubungi pegawai penyiasat Bank Negara Malaysia (BNM) selepas suspek mengarahkan mangsa bercakap dengan suspek yang menyamar sebagai pegawai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, suspek itu kemudian mengarahkan mangsa pergi ke sebuah bank di Alam Mesra, di sini, untuk proses membekukan akaun milik mangsa.

“Pegawai itu kemudian mengarahkan mangsa membuat pemindahan wang ke akaun suspek. Mangsa yang bimbang kemudian membuat pemindahan wang ke empat akaun suspek yang berbeza.

“Mangsa membuat transaksi dalam tempoh lapan hari berturut-turut bermula 21 Mei lalu hingga 28 Mei lalu, berjumlah RM260,000 dengan alasan memperdayakan mangsa untuk proses membekukan akaun miliknya,” katanya.

Beliau berkata, mangsa hanya menyedari tertipu selepas suspek terbabit gagal dihubungi.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dengan sindiket Macau Scam agar tidak terpedaya dengan tipu helah sindiket berkenaan,” katanya – berita harian