KUALA KANGSAR: Pensyarah Pusat Islam di Universiti Oxford, United Kingdom, Datuk Dr Afifi Al-Akiti dimasyhurkan sebagai pembesar negeri Perak oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam majlis penuh istiadat diraja di Istana Iskandariah, hari ini.

Majlis pemasyhuran itu ialah bagi Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan (Orang Besar Delapan) Negeri Perak yang baharu.

Turut berangkat ke istiadat tersebut ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi serta barisan Ahli Exco Kerajaan Negeri.

Dalam istiadat berkenaan, Dr Afifi, 42, dipanggil mengadap dalam upacara penuh tradisi.

Dr Afifi memulakan istiadat dengan mengangkat sembah beberapa kali sebelum Setiausaha Dewan Negara Perak membaca pengisytiharan gelaran diikuti laungan ‘Daulat’ sebanyak tiga kali oleh semua tetamu yang hadir.

Beliau seterusnya bergerak ke hadapan dengan tertib sambil diiringi paluan nobat dan sebaik hampir sampai di hadapan singgahsana tempat Sultan dan Permaisuri bersemayam, beliau duduk bertenggul dan maju ke hadapan dalam keadaan mengesot.

Sultan Nazrin kemudian menghunus Pedang Cura Si Manja Kini dan meletakkan mata pedang itu di bahu kiri dan kanan Dr Afifi sebelum menyarung kembali pedang itu.

Baginda kemudiannya menaburkan bunga mawar disusuli mencucukkan ‘Pacak Ketor’ di sebelah kanan tengkolok Dr Afifi, dikuti penyerahan keris kuasa.

Dr Afifi kemudian mengesot dan berjalan tertib secara berundur sehingga sampai ke tempat permulaan istiadat sebelum bentara menyelubungi kepala beliau dan dibawa keluar dari kawasan Istana Iskandariah menaiki kenderaan.

Beliau perlu meninggalkan negeri Perak selama tujuh hari mulai hari ini sebelum kembali semula bagi istiadat menjunjung duli, minggu depan.

Lantikan dan pengurniaan gelaran tersebut telah diperkenankan Almarhum Sultan Azlan Shah pada Disember 2011.

Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2017 ini pernah mendapat pengiktirafan dunia apabila fatwa yang ditulisnya menjadi rujukan.

Beliau menulis satu fatwa menurut Mazhab Syafie berjudul Mudafi’ al-Mazlum bi-Radd al-Muhamil ‘ala Qital Man La Yuqatil’ (Membela Pihak Teraniaya Dengan Menyangkal Kumpulan Pelampau Yang Membunuh Orang Awam).

Fatwa yang mengkritik ekstremis Islam dan golongan pelampau yang mensasarkan orang awam dalam peperangan dan serangan itu disokong ramai ulama Islam dan mendapat pembacaan yang meluas di seluruh dunia.

Anak kelahiran Batu Gajah ini juga diiktiraf sebagai bangsa Melayu pertama berjaya menjadi tenaga pensyarah di universiti berprestij itu.

Atas kecemerlangannya menyumbang ilmu pendidikan Islam, Dr Afifi pada 2009 telah disenarai pendek sebagai penerima Anugerah Muslim UK Tahunan bersama Prof Muhammad Abdel Haleem.

Pada Julai lalu, beliau dilantik bersama empat tokoh agama lain menganggotai Jawatankuasa Hal Ehwal Islam peringkat Persekutuan sebagai Timbalan Pengerusi.

Pada 2016, Dr Afifi menjadi penerima pertama Anugerah Tokoh Ilmuan Perak disampaikan Sultan Nazrin sempena Festival Puisi dan Lagu Rakyat (Pulara) di Pulau Pangkor.