LUMUT – Pemuda Bersatu Lumut menyambut baik usaha kerajaan Perak yang mahu pentadbiran negeri itu dilaksanakan berasaskan al-Quran.

Sokongan itu ditegaskan Ketuanya, Akmal Madradzi yang mana beliau menyifatkan usaha tersebut adalah satu pendekatan yang wajar selain selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang tubuh negeri Perak yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi.

Malah, al-Quran itu sendiri jika dihayati dan difahami katanya adalah panduan bukan sahaja kepada orang Islam semata-mata tetapi kepada semua manusia tanpa mengira kaum dan agama kerana ia menekankan kepada prinsip keadilan sosial merangkumi aspek politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.

“Maka kita (Armada Bahagian Lumut) menyokong penuh hasrat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mahu meletakkan pentadbiran negeri ini berasaskan al-Quran.

“Kita percaya apa yang dihasratkan oleh beliau (Ahmad Faizal) itu adalah untuk mewujudkan model pentadbiran negeri yang terbaik untuk semua rakyat,” katanya di sini hari ini.

Akmal berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahmad Faizal semalam yang menzahirkan komitmen untuk menjadikan negeri ini ke arah pentadbiran berteraskan al-Quran.

Menurut Menteri Besar itu, itu penting bagi memastikan misi, visi dan hala tuju negeri Perak terus di landasan terbaik dan diredai – sinar