ALOR SETAR: Pentadbiran kerajaan negeri Kedah semakin pasti berlaku, termasuk kemungkinan pelantikan menteri besar baharu berdasarkan perubahan landskap politik negara.

Ketua Kluster Governan dan Integriti, Pusat Pengajian Kerajaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Ahmad Marthadha Mohamed, berkata ini disebabkan satu gabungan baharu parti politik dijangka membentuk Kerajaan Pusat tidak lama lagi.

Katanya, bagaimanapun bilangan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang dimiliki parti tidak boleh dijadikan jaminan bahawa jawatan menteri besar perlu dipegang wakil parti berkenaan.

“Ketika ini kita semua tahu Pakatan Harapan (PH) tidak lagi memerintah dan terpulang kepada Tun Dr Mahathir Mohamad menyelaraskan pembentukan kerajaan baharu.

“Jadi di Kedah, kita perlu tunggu pembetukan Kerajaan Pusat baharu sebelum perubahan di kerajaan negeri boleh berlaku. Perubahan itu dijangka pasti berlaku berdasarkan PH di Kedah tidak lagi memiliki majoriti di DUN.

“Bagaimanapun, proses itu perlu melalui beberapa langkah termasuk mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallahuddin Badlishah yang mempunyai hak menentukan menteri besar yang akan dilantik,” katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Kedudukan DUN Kedah ketika ini menunjukkan PAS memiliki kerusi paling banyak iaitu 15, PKR (7), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (6), Parti Amanah Negara (4), UMNO (2) dan DAP (2).

Mengulas mengenai kemungkinan menteri besar baharu dilantik dalam kalangan wakil PAS berikutan parti itu memiliki kerusi paling banyak, Ahmad Marthadha menjelaskan, ia bergantung kepada pembentukan gabungan parti di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Sekiranya Datuk Seri Mukhriz Mahathir dibawa ke pusat, pemimpin seperti Datuk Ir Amiruddin Hamzah (ADUN Anak Bukit), Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (ADUN Guar Chempedak) dan Muhammad Sanusi Md Nor (ADUN Jeneri) berpotensi dilantik berdasarkan pengalaman mereka.

“Terdapat juga kemungkinan Mukhriz kekal di Kedah. Ini bergantung kepada bagaimana gabungan parti baharu di pusat berunding dan menentukan pembahagian jawatan antara mereka.

“Perlu diingat, sesiapa sahaja dilantik ke jawatan menteri besar ini tidak mempunyai masa untuk belajar atau bulan madu kerana DUN Kedah hanya mempunyai tempoh kira-kira tiga tahun dan kerajaan perlu terus bekerja,” katanya.

Ahmad Martadha turut mengingatkan, individu yang dilantik ke jawatan Menteri Besar juga perlu mendapat sokongan majoriti ADUN bagi mengelak sebarang masalah termasuk undi tidak percaya dibuat di DUN.

“Menteri besar juga selepas ini bertanggungjawab memilih barisan EXCO baharu dan parti politik akan menuntut jawatan itu, termasuk parti yang mempunyai wakil yang tidak ramai.

“Disebabkan itu, menteri besar perlu bijak menentukan siapa dalam kalangan ADUN yang perlu dilantik dan dapat memberi sokongan kepadanya di dalam DUN bagi memastikan tidak timbul masalah pada masa hadapan.

“Saya menjangka proses ini dapat dilakukan dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu. Namun, semuanya bergantung kepada pembentukan kerajaan pusat yang baharu,” katanya. BH