IPOH : Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi jaminan bahawa pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar walaupun pelantikan Exco masih tertangguh.

Beliau menjelaskan, dengan pelantikannya sebagai Menteri Besar ke-13, kerajaan negeri Perak dapat berfungsi sepenuhnya.

Ini kerana, katanya, kerja-kerja pentadbiran negeri terus dijalankan oleh ketua jabatan, melalui punca kuasa dari undang-undang berkaitan.

“Dengan kerjasama erat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri dan seluruh anggota pentadbiran, Menteri Besar dapat mengemudi operasi pentadbiran dengan lancar.

“Tambahan pula, sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), operasi pentadbiran berkisar di Bilik Gerakan dan urusan seharian tertumpu kepada perihal perkhidmatan kepada rakyat yang memerlukan bantuan,” katanya dalam perutusan di radio PerakFm hari ini.

Menurut Ahmad Faizal, di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri, tiada tempoh tertentu untuk melantik barisan Exco.

Katanya, insya Allah, pelantikan itu akan dilakukan apabila wabak COVID-19 dapat dikawal bagi membolehkan PKP ditarik balik.

“Tumpuan utama buat masa ini adalah bagi memastikan kemenangan melawan penularan wabak merbahaya in hi

“Kita bersyukur, barisan anggota pentadbiran kerajaan negeri Perak amat mampu dan komited dalam memberikan yang terbaik untuk rakyat,” ujarnya.