KUALA KANGSAR: Sistem pentadbiran kerajaan negeri Perak terbukti terus berkembang secara progresif dengan pelbagai pengiktirafan yang diterima khususnya dalam bidang pengendalian kewangan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pengiktirafan yang dierima ini mampu ‎mengetepikan suara yang mempersoalkan tangga kedudukan negeri ini dari segi ekonomi.

 Kata beliau, Perak turut diakui sebagai negeri yang menguruskan kewangan secara sistematik dan ia menangkis laporan mengatakan bahawa negeri dalam kategori negeri termiskin.‎

“Hakikatnya, julat dan pertimbangan yang digunakan tidak menggarap bukti yang ada.”Sebagai contoh, bagi tempoh 2012 hingga 2015, Perak berada pada paras 7.7 peratus dan sekaligus mengatasi purata pertumbuhan nasional,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Tahniah dan Taat Setia di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini pada pagi Sabtu.

Tambahnya, beberapa pencapaian yang digarap boleh digariskan sekaligus meletakkan Perak pada landasan yang betul.

“Antaranya, kerajaan negeri Perak kini tidak lagi berhutang kepada kerajaan persekutuan dalam  urusan pembayaran gaji kakitangan awam.

“Rezab negeri  sentiasa berada dalam keadaan baik  dan positif malah hutang  negeri kepada kerajaan Persekutuan adalah yang terendah,”katanya.

Dr Zambry berkata Perak juga terus memacu pembangunan sosioekonomi dengan penurunan kadar miskin tegar di Perak berada pada paras 0.74 peratus.

Malah, Dr Zambry berkata Indeks Harga Pengguna (Consumer Price Index) antara yang terendah di Malaysia pada kadar 0.4 peratus.

Malah, Perak terus menerajui sektor pelancongan Asia dengan mencatatkan pelancong domestik yang tertinggi di Malaysia.

Misalnya bagi tempoh empat tahun berturut-turut sehingga 2015 negeri ini mencatat 7.96 juta pelancong, katanya.

Pelancongan Perak terus dilonjakkan ‎apabila majalah pelancongan terkemuka Lonely Planet meletakkan Perak antara 10 rantau dunia yang mesti dilawati pada tahun 2017, katanya.

Pentadbiran-Perak

Dr Zambry berkata pihaknya turut melaksanakan beberapa  inisiatif besar untuk menyuburkan  pertumbuhan ekonomi negeri dankesejahteraan rakyat.

“Di bawah pimpinan Perdana Menteri Malaysia serta rintisan usaha pelbagai pihak,  Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR)  kini telah diangkat menjadi universiti penuh yang kini dikenali sebagai Universiti Sultan Azlan Shah.

“Manakala penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Perak pula menjadi pelantar pentadbiran patik dalam memastikan keperluan perumahan dan pemilikan hartanah, kalangan rakyat jelata dapat dirancang dan dipenuhi sebaik mungkin,”katanya lagi.