Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria 

IPOH : UMNO dan Pas Perak mendakwa pentadbiran kerajaan negeri kini ‘lumpuh’ susulan ketiadaan dua timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak yang sepatutnya memangku tugas di peringkat pentadbiran negeri berikutan kekosongan kerusi SUK sejak Ahad lalu belum lagi diisi.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dalam kenyataan media bersama hari ini berkata, ketiadaan dua timbalan SUK berikutan masing-masing berkursus di luar negara dan cuti sakit, menjadikan kerajaan Perak ibarat ‘gerabak kereta api tanpa kepala’.

Lebih memburukkan keadaan, kenyataan tersebut turut menyifatkan pentadbiran di peringkat negeri huru-hara berikutan politik negeri tidak stabil akibat perebutan kerusi menteri besar, pergeseran antara parti komponen serta percakaran dalaman parti di peringkat Pakatan Harapan (PH).

“Jentera pengurusan dan pelaksana kerajaan lumpuh akibat tiada orang yang mengetuai operasi kerajaan.

“Harus diingat, Menteri Besar Perak dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan hanya penggubal polisi, manakala pelaksana ialah kakitangan awam yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri.

Menurutnya, lebih menyedihkan apabila Penasihat Undang-Undang Perak, Datuk Rohana Abd Malek pula menghampiri persaraan.

“Tanpa sebuah jentera pelaksana yang kuat, adalah mustahil tugas kerajaan boleh dilaksanakan, ibarat gerabak kereta api yang tidak mempunyai kepala lokomotif. Rakyat bawahan terus menjadi mangsa,” katanya menerusi kenyataan itu.

Pada 1 Disember lalu, Zainal Azman sah bertukar ke Jawatan Penempatan Khas di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selepas menjadi SUK Perak sejak 18 Oktober 2018 menggantikan Datuk Mohd Gazali Jalal yang bersara.

Dalam pada itu, jawatan Pegawai Kewangan Negeri Perak turut tidak diisi selepas Datuk Abu Bakar Said bersara.

Difahamkan juga Timbalan SUK Perak (Pengurusan), Nor Sham Rahman kini berada di luar negara mengikuti kursus, manakala Timbalan SUK Perak (Pembangunan), Mu’az Zawawi sedang cuti sakit.