Oleh:Nazialita Geynna Maharan

SERI ISKANDAR: Polis berjaya mematahkan cubaan seorang lelaki untuk membawa 32 bungkusan plastik berisi air ketum seberat 110 kilogram berhampiran Jalan Kampung Gajah-Teluk Memali pada awal pagi Isnin.

Dalam kejadian sekitar 4 pagi itu, pasukan peronda IPD Perak Tengah telah menahan sebuah kenderaan jenis Mercedez Benz yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 35 tahun sebelum merampas kesemua barangan tersebut yang bernilai hampir RM3,300.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Mohd Zainal Abdullah berkata pihaknya turut merampas dua botol berisi cecair disyaki air ketum seberat 3 liter dan kesemua rampasan itu dijumpai di bahagian belakang bonet kenderaan yang sedang menghala ke Teluk Intan itu.

IMG-20170515-WA0045

“Siasatan lanjut mendapati suspek yang bekerja sebagai penternak ikan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Dia direman bermula selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di IPD Perak Tengah pada petang Isnin.

Jelasnya, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) dan 30(5) Akta Racun 1985 yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 atau penjara empat tahun jika sabit kesalahan.