KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menggesa agar kepimpinan Pakatan Harapan (PH) bertanya kepada pengerusinya mengenai dakwaan penubuhan kerajaaan baharu melalui ‘pintu belakang’.

Ujar beliau, PH tidak perlu terus mempersoalkan dakwaan yang mengaitkan dirinya sebagai antara pemimpin yang cuba menggerakkan usaha penubuhan kerajaan baharu melalui ‘pintu belakang’ dengan mengenepikan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

“Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir) adalah pemimpin mereka (PH) bukan saya.

“Mereka sepatutnya bertanya hal itu dengan Perdana Menteri kerana Tun Mahathir adalah pemimpin mereka.

“Mengapa patut mereka menyalahkan UMNO dan (Ahli Parlimen) Sembrong (merujuk beliau),” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, bekas Menteri UMNO itu berkata, kerajaan PH sekarang dilihat takut dengan bayang-bayang sendiri sehingga terpaksa menuduh pihak lain yang cuba memporak-perandakan gabungan mereka.

“Sekarang mereka tuduh saya mahu tubuh kerajaan pintu belakang, saya tidak faham maksudnya dan hendak buat macam mana pun tidak pasti.

“Kalau ada bukti pun, apa yang saya boleh buat sebab saya mana ada pegang sebarang jawatan penting?

“Saya rasa mereka (PH) berasa tidak selamat, takut dengan bayang-bayang sendiri. Bila mentaliti masih pembangkang, yang jadi sasaran UMNO dan Sembrong,” katanya.

Perkara itu dibangkitkan Majlis Setiausaha setelah mereka mendesak agar Hishammuddin menghentikan kempen yang cuba menampilkan idea kerajaan tanpa penyertaan DAP dan parti Amanah. – MalaysiaGazette