IPOH: Penubuhan Majlis Pengurusan Pesisir Pantai Perak (MP4) adalah langkah awal kerajaan negeri untuk mengoptimumkan prospek ekonomi pesisiran pantai, ekoran projek Lebuh Raya Pesisir Pantai (WCE).

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, projek WCE telah pun bermula pada tahun 2014 yang menghubungkan Changkat Jering, Taiping sehingga ke Banting, Selangor dengan jarak keseluruhan sepanjang 233 kilometer.

Menurut beliau, projek itu yang dijangka siap pada tahun 2019, bakal memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri Perak khusunya yang tinggal di kawasan pesisiran pantai.

“Menerusi pembangunan projek ini kelak, ianya dijangka bakal merancakkan lagi aktiviti ekonomi negeri di samping meningkatkan lagi pendapatan rakyat.

“Di samping itu, WCE akan membuka kawasan-kawasan baru di sepanjang pesisiran pantai negeri yang melibatkan prospek penempatan kediaman, industri, komersial, pelancongan, pendidikan, pelombongan dan lain-lain aktiviti lagi,” katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Sehubungan itu, kata Zahir, kerajaan negeri telah mengambil langkah-langkah awal untuk mengoptimumkan prospek potensi ekonomi persisiran pantai ini dengan menubuhkan MP4 pada pertengahan tahun lalu.

Katanya, penubuhan MP4 adalah selaras dengan Enakmen Pengurusan Pesisir Pantai Perak 2016 yang telah diluluskan oleh DUN dan diwartakan pada 23hb jun 2016.

“Majlis ini diwujudkan untuk menyelaras pembangunan, pengurusan aktiviti dan perkhidmatan di kawasan pesisir pantai negeri Perak,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, sebelum wujudnya MP4, pengurusan kawasan pesisir pantai negeri ini, sama ada dari sudut pembangunan atau kawalan aktiviti dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) manakala aktiviti perkapalan dan sebagainya tidak langsung dikawal kerana Perak tidak mempunyai lembaga pelabuhan.

Katanya, dengan adanya MP4, semua penyelarasan dan kawalan pembangunan, pengurusan aktiviti dan perkhidmatan di pesisir pantai boleh diselaraskan melalui majlis yang diwujudkan di bawah MP4.

Antara lain, kata beliau, MP4 akan mewujudkan satu Pelan Induk Pembangunan Pesisir Ppantai Perak yang akan mengawal selia aktiviti di pesisir pantai negeri yang merangkumi pelbagai aktiviti dan perkhidmatan.

Menurutnya, MP4 juga diberi kuasa oleh kerajaan negeri untuk melesenkan semua aktiviti dan perkhidmatan di pesisir pantai perak termasuk mengenakan levi yang sesuai.

“Pelesenan aktiviti dan perkhidmatan di pesisir pantai Pperak ini membolehkan kerajaan negeri menyelaraskan pembangunan dan aktiviti yang dijalankan bagi memastikan keselamatan pesisir pantai perak dipelihara serta isu-isu alam sekitar ditangani dengan sewajarnya,” kata beliau.