LANGKAWI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini memberi jaminan kerajaan Barisan Nasional (BN) Kedah akan menunaikan permintaan komuniti India di Langkawi.

Najib berkata, perkara berkenaan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan beliau sudah pun membincangkan permintaan itu dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

“Saya sudah pun berbincang perkara ini dengan Menteri Besar (Ahmad Bashah) dan beliau memberi jaminan serta menyokong permintaan yang dikemukakan ini untuk kesejahteraan masyarakat India di Langkawi.

“Apa yang kita lihat di sini, dua permintaan yang membabitkan kuil masyarakat India di kawasan ini akan dapat diselesaikan.

“Berkenaan tanah untuk penempatan masyarakat India di Langkawi, kita akan cari tanah sesuai terlebih dahulu dengan harapan Barisan Nasional dapat diberikan kuasa untuk menerajui kawasan ini sekali lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mesra Rakyat Bersama Perdana Menteri di Padang MIC Bahagian Langkawi, Taman Sungai Raya, Kisap, di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapan aluannya, Ketua Bahagian MIC Langkawi, V Nagaiah menyampaikan hasrat kaum India Langkawi untuk mendapatkan tanah di Kuil Sri Subramaniam dan menggazetkan tanah di Kuil Sri Mahammariaman, yang terletak di Taman Sungai Raya.

Selain itu, masyarakat India di Langkawi juga memohon kerajaan menyediakan sebidang tanah seluas 11.34 hektar untuk penempatan semula masyarakat India di pulau itu.

Sementara itu, hampir 1,000 masyarakat India di Langkawi menghadiri majlis berkenaan yang turut dihadiri Ahmad Bashah Md Hanipah; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad dan Pengerusi MIC Kedah, Datuk Jaspal Singh.

Pada majlis berkenaan, Najib juga menyampaikan bantuan Barakah Kedah berupa barangan keperluan asas kepada masyarakat India, di sini – berita harian