IPOH: Kerajaan baharu yang dipilih semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), diminta supaya memenuhi harapan dan janji serta melaksanakan tanggungjawab secara berintegriti kepada rakyat.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, mereka juga hendaklah mengurus tadbir negeri berlandaskan undang-undang dan peraturan.

Titah baginda, semasa kempen PRU14, pelbagai janji diumumkan sehingga majoriti pengundi berani mengambil risiko, melakukan anjakan minda untuk menukar kerajaan atas keyakinan akan berlakunya perubahan yang akan membawa kepada kehidupan rakyat dan kesejahteraan negara.

“Era berkempen telah berakhir. Penuhilah harapan rakyat – penuhilah amanah rakyat. Laksanakan tanggungjawab secara dedikasi, ikhlas, jujur dan berintegriti,” titah baginda di istiadat pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke- 14 pada Isnin.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tunku Zara Salim.

Yang turut sama, Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu dan Yang Dipertua Dewan Negeri, Datuk Ngeh Koo Ham.

Sultan Nazrin bertitah, ahli-ahli Dewan, daripada kedua-dua belah pihak, hendaklah berperanan sebagai anggota cabang perundangan, bertanggungjawab menyemak serta mengimbangi cabang eksekutif kerajaan.

“Majoriti pengundi yang memilih untuk menukar kerajaan, mahukan sebuah kerajaan yang melaksanakan tadbir urus yang baik. Kerajaan yang telah Beta beri perkenan untuk dibentuk berikutan pemilihan rakyat, hendaklah mengurus tadbir negeri berlandaskan undang-undang dan peraturan.

“Jangan sekali-kali melakukan rasuah, salah guna kuasa, menggunakan jawatan untuk meraut keuntungan peribadi dan keluarga, merosakkan khazanah negeri serta melakukan diskriminasi dan penganiayaan.

“Jawatan dan kuasa adalah amanah daripada Ilahi, dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala kepada kalangan hamba Nya sebagai satu ujian, yang boleh ditarik balik pada bila-bila masa dan ketika,” titah baginda.