KAMPAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Kompleks Pentadbiran Majlis Daerah Kampar di Jalan Padang Tembak di sini, pada Selasa.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Puan Besar Perak, Raja Mahani Raja Shahar Shah serta Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

sultan kampar 1

Dalam majlis itu, baginda telah melakukan lafaz perasmian kompleks berkenaan di pentas utama sambil disaksikan lebih 1,000 tetamu.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Kompleks baharu yang menggantikan Pejabat Majlis Daerah Kampar di Jalan Baru di Pekan Kampar, telah siap sepenuhnya pada Disember 2004 dengan kos RM6.9 juta di mana RM4 juta daripadanya adalah pinjaman daripada kerajaan negeri.

sultan kampar 2

Bangunan bercirikan reka bentuk ‘Islamic Modern’ turut menyediakan ruang pejabat yang menempatkan seramai 117 kakitangan, bilik mesyuarat, auditorium, surau, bilik komputer, tandas dan kafeteria.

Nolee Ashilin di dalam ucapannya berkata, kewujudan bangunan tiga tingkat itu memperlengkapkan lagi jentera pentadbiran daerah dan memenuhi keperluan masyarakat setempat.

sultan kampar 3

“Dipacu oleh rancangan tempatan Kampar 2030 yang telah diwartakan pada 26 Mei 2016, pihak kerajaan negeri yakin daerah itu yang pernah menjadi daerah terunggul dengan sumber hasil bijihnya akan bergemerlapan dengan potensinya yang tersendiri.

“Kawasan ini merupakan kawasan yang semakin pesat membangun dengan jumlah penduduk dianggarkan mencapai 125,000 orang tahun ini berdasarkan unjuran kajian rancangan tempatan yang dibuat pada 2012,” katanya.